title_sejarahpemuda.gif (4931 bytes)


triangle.gif (616 bytes)but_chinese.gif (1142 bytes)

PEMUDA GERAKAN NEGERI JOHOR ( Pemuda Johor ) telah wujud sejak tahun 1985 dengan perlantikan Sdr. Ng Ah Wa dari Pontian sebagai Ketua Pemuda Jawatankuasa Penaja. Malangnya setahun kemudian , Sdr. Ng meletakkan jawatannya kerana masalah peribadinya manakala Setiausahanya Sdr. Tan Kee Teng pula terpaksa melanjutkan pelajarannya. Sdr. Teo Kok Chee mengambilalih tugas sebagai Ketua.

Pada tahun 17.11.1987, Sdr. Teo menubuhkan J/K Pemuda Johor setelah beliau terpilih sebagai Ketua Pemuda yang pertama. Di bawah pimpinan beliau, Pemuda Johor telah berjaya melancarkan pelbagai aktiviti untuk meningkatkan imej Parti Gerakan Negeri Johor. Antara kegiatan yang dijalankan ialah "Jamuan Makan Malam Pemuda Johor" pada 08.05.1988, "Malam Bintang Pemuda Johor" di Batu Pahat pada 17.09.1988 dan "Khemah Latihan Politik" pada 18.03.1989.

Pada tahun 1990, Sdr.Teo terpaksa meninggalkan Pemuda kerana had umur. Setiausaha beliau, Sdr. Tan Kee Teng dipilih menang tanpa bertanding sebagai Ketua Pemuda Negeri Johor yang kedua. Untuk memastikan Pemuda Johor dapat bergerak dengan lebih efisen dan bedisiplin, semua AJK yang menghadiri mesyuarat atau perhimpunan luar wajib memakai pakaian rasmi parti berserta dengan lencana parti untuk meningkatkan imej diri sebagai pemimpin parti, di samping menonjolkan Pemuda Johor di mata orang lain.

Reformasi ini telah mendapat pujian beberapa orang pemimpin pusat. Selain itu, Jawatankuasa Tindakan Khas yang ditubuhkan telah mewajibkan semua Pemuda Bahagian membeli bendera parti dan T-shirt dari Pemuda Johor untuk digunapakai semasa menjalankan aktiviti parti dan pilihanraya umum.

Pada 5.6.1990, Pemuda Johor telah mengadakan sidang akhbar di Johor Bahru untuk mengutuk segelintir ahli parti yang sengaja memburuk-burukkan imej parti kerana bersengketa dengan pemimpin negeri. Tindakan ini akhirnya berjaya mengelakkan perpecahan parti. Pada tahun 1991, Pemuda Johor diterima menjadi AJK Majlis Belia Negeri Johor dan Sdr. Tan turut dilantik sebagai AJK Tetap Majlis Perundangan Belia Johor.

Apabila Sdr. Tan Kee Teng berjaya mengekalkan jawatan Ketua Pemuda Negeri untuk penggal kedua pada 1992, Pemuda Johor pun berjinak-jinak dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk melancarkan beberapa program meningkatkan penguasaan bahasa di kalangan pemimpin muda berikutan perlantikan Sdr. Tan sebagai pemudah cara DBP. Pada tahun 1993, Sdr. Tan Kee Teng dicalonkan dan menang sebagai Timbalan Ketua Pemuda Nasional. Peluang sebagai pemimpin pusat dan pendedahan yang diterima dari negeri-negeri lain telah membolehkan Sdr.Tan menyusun beberapa program dan kegiatan yang bertujuan meningkatkan prestasi pemimpin Pemuda Johor. Pada tahun itu juga, Setiausaha Pergerakan Pemuda Johor, Sdr. Thye Ming Kwong menang sebagai AJK Pusat dengan majoriti undi yang tertinggi.

Seterusnya, sempena menyambut ulangtahun parti yang ke 25, Pemuda Johor telah mengilhamkan logo ulangtahun ke 25 dengan slogan berbunyi "Gerakan Bersama Rakyat" yang diterimapakai oleh pemimpin pusat. 6 Konsert Remaja yang berterusan sempena ulangtahun parti turut berjaya mengumpul berpuluh ribu ringgit untuk tabung bangunan parti Johor.

Sepanjang tahun 1993-1994 Pemuda Johor banyak menganjurkan seminar politik dan kursus latihan kepemimpinan untuk ahli-ahli Pemuda berikutan pengalaman yang diperoleh oleh Sdr. Tan kerana berpeluang melawat ke beberapa buah negara asing atas jemputan parti politik dan juga sektor pendidikan. Setelah berjaya dikekalkan sebagai Ketua Pemuda Negeri Johor untuk penggal ke 3, Sdr.Tan mencadangkan perubahan struktur organanisasi dilakukan. dengan perlantikan 3 orang Naib Ketua dari kawasan Johor Selatan, Johor Tengah dan Johor Utara agar kegiatan parti dan organisasi Pemuda dapat berfungsi secara menyeluruh.

Sebagai rangsangan untuk memotivasikan semua ahli muda, Pemuda Johor telah mengilhamkan dan menghayati slogan berbunyi "Pimpin Bersama, Tanggungjawab Semua" yang masih digunapakai sebagai misi dan pedoman Pemuda Negeri yang berkesan hingga kini.

Pada tahun 1995, Pemuda Johor tetap bertungkus-lumus membantu kerja-kerja di kawasan DUN Skudai dan DUN Kulai pada musim pilihanraya umum, walaupun para pemimpinnya tidak terpilih sebagai calon. DUN Skudai diketuai oleh Sdr. Tan dan Naib Ketuanya Sdr. Khoo Gee Chen manakala DUN Kulai pula diketuai oleh pemimpin-pemimpin Pemuda di Bahagian Senai dan Cawangan Kulai.

Pada tahun 1996, jentera parti menjadi lembab dan pasif akibat pemilihan parti di negeri Johor. Untuk tidak menimbulkan kebosanan, Pemuda Johor telah menghantar 14 orang AJK Pemuda Negeri ke Kuala Lumpur untuk menyertai aktiviti yang dianjurkan oleh Pemuda Nasional pada 22.09.1996, di samping memulakan "Kursus Politik Melalui Pos". Seterusnya, AJK Negeri turut menyertai kursus politik di Port Dickson, Perak, Melaka, Pulau Pinang dan sebagainya untuk membarakan minat mereka untuk menganjurkan kegiatan sendiri. Langkah ini menampakkan kesan positif. Dengan adanya semangat berpasukan yang jitu dan satu hati yang kental, Pergerakan Pemuda Johor turut berjaya melaksanakan semua kegiatan seperti yang telah dirancangkan.

"Kukuhkan pimpinan akar, gerakkan jentera parti"
ikrar kami untuk Pergerakan Pemuda Johor !!!


arrowup.gif (356 bytes)
TOP


Best viewed with Netscape  4.0 and above with resolution 640 x 480
Copyright (c) Parti Gerakan Rakyat Malaysia Negeri Johor

15, Jalan Jaya 2, Taman Jaya, 81300 Skudai, Johor.
Tel : 607-554 3786 & 607-554 3787   Fax : 607-554 3788

Email : johcman@pgrmjoh.po.my  Webmaster : tkteng@tm.net.my